JENAYAH DALAM ISLAM


MURTAD DAN HUKUMANNYA




Murtad ertinya seorang yang keluar daripada agama Islam sama ada untuk menganut agama lain atau tidak. Kesalahannya dinamakan riddah yang bererti berpaling tadah daripada Islam kepada seorang yang murtad itu, seorang telah berundur kebelakang sesudah ia maju kehadapan dengan menerima hidayat dan petunjuk Allah.



Rukun bagi kesalahan ini ialah dua :



1. Keluar daripada Islam

2. Niat sengaja



Rukun pertama :

1. Keluar daripada Islam atau meninggalkan agama Islam, ertinya tidak mempercayai lagi kebenaran Islam. Seseorang itu boleh menjadi murtad dengan sebab melakukan salah satu daripada tiga cara iaitu, sama ada dengan perbuatan, percakapan atau kepercayaan dalam hati.



Melalui perbuatan. Seseorang itu boleh terkeluar daripada Islam apabila ia melakukan perkara-perkara yang diharamkan Islam di samping mengharuskannya sama ada melakukan perkara itu dengan sengaja atau untuk menghina Islam atau kerana keras kepala atau sombong dan takbur, seperti sujud menyembah berhala, matahari, bulan dan bintang dan seperti membuang al-Qur’an dan kitab-kitab Hadith di longkang-longkang. Begitu juga dengan melakukan perkara-perkara yang diharamkan berserta dengan menghalalkan perbuatan itu seperti seorang yang melakukan zina dengan I’tiqad bahawa perbuatan itu tidak diharamkan. Oleh itu barang siapa yang mengi’tiqadkan sesuatu itu halal sedangkan ia telah diijma’kan tentang haramnya boleh menjadi kafir dan murtad.



Begitu juga sesuatu yang telah diketahui oleh masyarakat kaum muslimin seperti haramnya daging babi, arak, zina dan sebagainya, maka perbuatan seperti ini tidak syak lagi boleh menyebabkan kufur dan mustad. Akan tetapi seseorang yang melakukan perkara-perkara yang telah diharamkan oleh syara’ sedangkan dia tidak mengetahui pengharamannya maka ia tidak boleh dianggap sebagai murtad. Sebaliknya jika dia mengulangi perbuatan haram itu selepas mengetahui haramnya maka ia dianggap telah kafir. Tetapi jika dia melakukan perbuatan yang diharamkan sedangkan dia tidak menghalalkannya, maka ia hanya dikira sebagai orang yang derhaka (asi) dan tidak sampai kepada kafir.



Orang yang tidak menunaikan kewajipan-kewajipan yang telah difardukan dalam Islam sama ada kerana kengingkari hukum-hukum wajibnya atau kerana mengi’tiqadkan sebagai harus seperti kewajipan solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain tuntutan yang telah diijma’kan tentang kewajipannya adalah dianggap telah terkeluar daripada Islam, jika dia telah mengetahui hukum wajibnya, melainkan kalau dia tidak mengetahui hukum-hukum tersebut, yang disebabkan kerana dia baru masuk Islam atau kerana dia duduk di tempat yang berjauhan daripada orang yang tahu tentang hukum-hukum Islam. Dalam keadaan ini tidak boleh dianggap sebagai kafir.



Melalui percakapan. Percakapan boleh menyebabkan seseorang itu menjadi murtad. Jika dia mengeluarkan kata-kata yang menunjukkan kepada kekufuran seperti mengingkari wujudnya Allah atau tidak mempercayai keesaan Allah dengan mengatakan umpamanya Allah ada sekutunya dan berbilang-bilang, mengaku dirinya menjadi Nabi atau mempercayai orang yang mengakui jadi Nabi, mengingkari para Nabi-nabi, Malaikat-malaikat, tidak mempercayai al-Qur’an atau sebahagian daripadanya, atau dengan mengatakan bahawa syari’at Islam diturunkan bukan untuk mengatur perhubungan diantara individu dengan masyarakat dan negara atau dengan mengatakan hukum-hukum Islam tidak wajib dilaksanakan pada masa sekarang kerana tidak sesuai atau dengan mengatakan setengah-setengah hukum Islam tidak kekal, hanya sesuai pada masa yang silam dan kenyataan-kenyataan lain yang menyebabkan orang yang membuat kenyataan-kenyataan seperti itu maka dia boleh menjadi murtad dan kafir.



Melalui iktiqad. Kepercayaan juga menyebabkan seseorang itu boleh menjadi murtad jika dia mempercayai kepercayaan-kepercayaan yang bertentangan dengan aqidah Islam seperti mengiktiqadkan bahawa alam ini terjadi dengan sendirinya yang tidak ada yang menjadikannya, atau al-Quran bukan ciptaan Allah tetapi dicipta oleh manusia, atau mengiktiqadkan bahawa Muhammad itu bukan Rasul Allah, atau mengiktiqadkan bahawa Nabi Isa a.s. itu Tuhan, atau mempercayai Ghulum Ahmad Qadiyani sebagai nabi, atau mempercayai undang-undang ciptaan manusia lebih baik daripada undang-undang Islam dan sebagainya.



Akan tetapi kepercayaan yang bergerak semata-mata dihati itu tidak boleh menghukum seseorang itu murtad sehingga membolehkan dia dihukum di dunia ini, kalau tidak dilahirkan dengan percakapan atau perbuatan. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud :



Sesungguhnya Allah mengampunkan umatku daripada perkara yang tersemat dalam hati sanubari selagi tidak (disertakan) dengan perbuatan atau perkataan.



Oleh yang demikian seseorang Islam yang mempunyai kepercayaan yang bertentangan dengan aqidah tidak boleh dianggap sebagai telah terkeluar daripada Islam, melainkan kalau kepercayaan yang ada di hati sanubarinya dilahirkan dengan perkataan atau tindakannya. Kalau kepercayaan yang berlawanan dengan Islam itu tidak dilahir sama ada dengan perkataan atau perbuatannya maka dia masih dianggap muslim mengikut hukuman di dunia dan tidak boleh dikenakan apa-apa hukuman. Adapun di akhirat maka terserahlah kepada Allah yang menentukannya.



Memanglah betul imam itu letaknya di dalam hati, tidak ada sesiapa yang tahu dengan sebenar melainkan Allah tetapi Islam atau amal itu sbagai manifestasi keimanan. Jadi untuk mengetahui seseorang itu telah keluar daripada imam atau Islam sudah tentu ada tanda-tandanya yang zahir yang boleh menghukum seseorang itu murtad atau kafir di dunia ini.

Di antara tanda-tand zahir yang menunjukkan kekufuran sama ada melalui perbuatan atau percakapan adalah seperti berikut :



i. Mencaci Nabi Muhammad s.a.w. kerana Allah menyuruh kita memberi selawat kepadanya.



ii. Menginkari larangan Islam yang telah ditetapkan dengan dalil yang Qati seperti mengingkari pengharaman babi, khamar, riba dan sebagainya.



iii. Mengingkari perkara yang telah diketahui umum sebagai keperluan agama yang tidak boleh tidak seperti mengingkari bilangan sembahyang lima waktu dan mengingkari bilangan rakaat sembahyang.



iv. Mengingkari kepercayaan yang telah disabitkan dengan dalil Qati seperti mengingkari ciptaan al-Quran daripada Allah.



v. Tidak mengakui kewajipan yang telah disabitkan dengan dalil Qati seperti sembahyang, puasa, zakat, haji dan sebagainya.



vi. Mengharuskan perkara-perkara yang telah diharamkan dengan dalil Qati seperti mengingakari keharaman riba, zina, khamar dan sebagainya.





Rukun kedua :

1. Niat sengaja murtad. Untuk membuktikan seorang itu melakukan kesalahan murtad mestilah ia mempunyai niat sengaja perbuatan atau mengeluarkan kata-kata yang menunjukkan kepada kekufuran, dengan mengetahui apa-apa yang dilakukan atau yang dicakapkan itu adalah membawa kepada kekufuran. Jadi barang siapa yang melakukan suatu perbuatan atau percakapan yang membawa kepada kekufuran sedangkan dia tidak tahu maknanya, maka dia tidak boleh dihukumkan sebagai kafir. Malahan kalau mengikut pendapat Imam Syafie dan Mazhab al-Zahiri bahawa untuk menghukum seseorang itu murtad tidak memadai pesalah itu melakukan perkara-perkara atau mengeluarkan percakapan yang membawa erti kekufuran itu dengan sengaja, bahkan perbuatan sengaja itu mestilah disertai dengan niat di hati untuk menjadi kafir, berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w. :



Maksudnya : Sesungguhnya tiap-tiap amalan itu (tidak sah) melainkan dengan niat.



Oleh itu tiap-tiap perbuatan yang tidak disertai dengan niat adalah dianggap batal dan tidak diambil kira.



Akan tetapi menurut Imam Hanafi dan Malik dan Ahmad bahawa menganggap seseorang itu murtad memadai dengan hanya melakukan perbuatan atau percakapan yang membawa erti kekufuran, walaupun tidak ada niat untuk menjadi kafir, asalkan perbuatan atau percakapan itu ada bermaksud untuk menghina, merendah-rendahkan, atau mengejek Islam dan sebagainya.

Oleh yang demikian kalau seseorang itu melakukan perbuatan atau percakapan kufur dengan bergurau sekalipun seudah dianggap telah keluar dari Islam, asalkan dia mengetahui makna disebalik perbuatan itu, seperti seseorang yang menyembah berhala walaupun tidak ada niat di hatinya. Perbuatannya sudah cukup membuktikan bahawa dia ini adalah kafir kerana perbuatannya itu bererti dia menafikan kebesaran Allah s.w.t.



Hukuman Kerana Kesalahan Riddah


Ada beberapa hukuman bagi kesalahan ini mengikut keadaan kesalahan itu sendiri yang boleh dibahagi kepada tiga bahagian :



1. Hukuman asal

2. Hukuman ganti

3. Hukuman sampingan



1. Hukuman asal. Hukuman asal bagi orang yang murtad ialah bunuh berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.



Maksudnya : Barangsiapa yang menukar agamanya bunuhlah dia.



Mengikut jumhur ulamak bahawa hukuman bunuh dikenakan kepada semua pesalah murtad sama ada lelaki atau perempuan, tua atau muda. Imam Abu Hanafi mengatakan bahawa hukuman bunuh itu hanya terdah kepada pesalah-pesalah lelaki. Manakala pesalah perempuan tidak boleh dihukum bunuh bahkan dipaksa terus ke dalam Islam dengan dikurang dan dilepaskan tiap-tiap hari untuk ditaubatkan dan dijelaskan Islam kepadanya sehingga dia bertaubat dan menjadi Islam semula. Begitulah dia dipenjara hingga dia masuk Islam atau sampai mati.



Pendapat ini berdasarkan hujah bahawa Nabi Muhammad s.a.w. yang melarang tindakan membunuh perempuan-perempuan kafir dalam peperangan. Jadi kalau perempuan yang kafir asli pun tak dibenarkan membunuhnya maka apatah lagi kalau membunuh perempuan yang kafir sudah Islam. Manakala jumhur ulamak mendasarkan pendapat mereka kepada Hadith Nabi di atas dan juga berdasarkan kepada Hadith.



Maksudnya : Tidak dihalal (mengambil) darah (nyawa) seseorang melainkan dengan salah satu daripada tiga sebab : (1) Janda / duda yang berzina (2) Membunuh jiwa (3) Yang meninggalkan agamanya serta berpisah dengan jemaahnya.



Kedua-dua Hadith di atas tidak membezakan hukuman sama ada dengan lelaki atau perempuan, tua atau muda. Juga menurut Hadith yang diriwayatkan oleh al-Daruqutni bahawa seorang perempuan bernama Umi Marwan yang telah keluar daripada Islam di perintahkan oleh Nabi s.a.w. supaya bertaubat dan kalau enggan bertaubat maka dia boleh dibunuh.

Adapun mengenai hujah bahawa Nabi melarang membunuh perempuan di medan perang ialah kerana perempuan itu lemah dan tidak berdaya untuk berperang. Pada kebiasaannya seperti Islam melarang membunuh orang tua, ahli-ahli agama yang berada di tempat-tempat ibadat mereka dan orang-orang yang tidak terlibat di dalam peperangan. Ini tidak bererti kalau orang-orang tua, ahli-ahli agama, kalau mereka berpaling daripada agama Islam tidak boleh dihukum bunuh, bahkan mereka boleh dikenakan hukuman bunuh, seperti mana perempuan yang murtad juga boleh dikenakan hukuman bunuh.



Murtad Diminta Bertaubat


Mengikut kaedah, bahawa orang yang murtad itu tidak boleh terus dihukum bunuh melainkan setelah diminta bertaubat lebih dahalu. Ini bertujuan untuk mengetahui sebab-sebab dia menjadi murtad. Jadi kalau disebabkan salah faham mengenai Islam, maka patutlah dijelaskan kepadanya kedudukan yang sebenar sehingga dia sedar dan masuk semula kepada Islam. Kalau disebabkan kedegilannya maka eloklah juga diminta dia bertaubat manalah tahu dia akan kembali ke dalam Islam semula.



Ulamak mempunyai pandangan berbeza-beza dalam masalah ini. Ada yang mengatakan bahawa wajib meminta kepada pesalah itu bertaubat sebelum ia dikenakan hukuman bunuh. Ini ialah pendapat mazhab Maliki Zaidiyah dan pendapat yang rajas dalam Mazhab Syafie dan Hanbali.



Manakala Imam Abu Hanifah dan satu pendapat dalam Mazhab Syafie dan Ahmad mengatakan bahawa meminta pesalah itu bertaubat hanya disunatkan dan bukan diwajibkan, kerana perkara yang ditetapkan ialah hukuman bunuh kepada yang keluar daripada agamanya, dan juga kerana Mu’az apabila diberitahu tentang seorang Yahudi yang masuk Islam kemudian dia murtad, maka Mu’az telah meminta supaya Yahudi itu dibunuh dan Abu Musa al-Ashari telah menjalankan hukuman bunuh ke atasnya.



Manakala alasan yang mewajibkan taubat sebelum dihukum bunuh ialah menurut riwayat bahawa ketika Nabi Muhammad s.a.w. diberitahu tentang murtadnya Imam Marwan, baginda telah meminta supaya Imam Marwan ditaubatkan, kalau tidak, dia dihukum bunuh. Begitu juga Syaidina Umar telah mencela Abu Musa al-Ashari kerana membunuh seorang murtad yang tidak diminta taubat lebih dahulu dengan katanya :



Makdudnya : Kenapa kamu tidak mengurungnya selama tiga hari atau kamu meminta dia bertaubat, mudah-mudahan dia bertaubat atau kembali kepada Allah, Ya Allah sesungguhnya aku tidak hadir dan aku tidak menyuruh (bunuh) aku tidak reda kalau disampaikan (kepada aku)



Itu semua menunjukkan bahawa wajib meminta pesalah itu bertaubat, kalau tidak masakan Syaidina Umar melepaskan diri daripada perbuatan sahabat-sahabatnya. Lagipun ada baiknya kalau diberi peluang untuk bertaubat kerena kalau berjaya ditaubatkan, maka akan menjadi kekuatan kepada kaum muslimin dan juga kerana murtad itu adalah orang sesat. Maka wajiblah ditunjukkan semula ke jalan yang betul supaya dapat kembali semula ke jalan yang benar dan lurus itu.



Jangka Masa Ditaubatkan


Menurut mazhab Maliki bahawa jangka masa seseorang yang murtad itu wajib ditaubatkan ialah selama tiga hari tiga malam daripada masa dia disabitkan kesalahan murtad dan bukan daripada masa dia kufur atau daripada masa kes itu dibawa ke mahkamah. Menurut Imam Abu Hanifah masa pesalah murtad itu ditaubatkan adalah terpulang kepada budi bicara pemerintah atau wakilnya. Jika ada harapan yang pesalah itu akan bertaubat atau dia meminta ditangguhkan, maka pemerintah boleh menangguhkan selama tiga hari. Kalau tidak ada harapan yang pesalah itu akan bertaubat atau dia tidak meminta di tangguhkan, maka boleh dihukum bunuh pada masa itu juga.



Manakala Imam Shafie mempunyai dua pandangan : (1) Pesalah itu diberi peluang untuk bertaubat dalam masa tiga hari. (2) Jika pesalah itu telah diminta bertaubat tetapi dia tidak mahu bertaubat, maka ia boleh dihukum bunuh pada masa itu juga. Manakala pendapat dari Ibrahim al-Nakhai beliau tidak menghadkan kepada bilangan taubat atau masa taubat itu, tetapi bergantung kepada adanya harapan atau tidak pesalah itu mahu bertaubat dan kembali kepada Islam.



Kalau pada pendapat pemerintah pesalah itu ada harapan untuk bertaubat, maka tidak mengapa diulang-ulang beberapa kali meminta dia bertaubat. Tetapi kalau memang tidak ada harapan untuk dia bertaubat, maka tidak perlu ditangguhkan bahkan dihukum bunuh sahaja.



2. Hukum ganti. Jika dalam keadaan-keadaan tertentu hukuman asal (bunuh) bagi pesalah-pesalah riddah tidak boleh dijalankan, maka hukuman ganti mengambil tempat dalam keadaan-keadaan :



i. Jika hukuman asal (bunuh) digugurkan daripada murtad dengan sebab ialah telah bertaubat, maka kadi boleh mengantikan dengan hukuman yang sesuai dengan keadaan pesalah tersebut seperti hukuman jilid penjara, denda, beri amaran dan sebagainya. Kebanyakan ulamak mendorong untuk memberikan hukuman yang agak berat kepada pesalah yang selalu melakukan kesalahan riddah, walaupun kemudian dia bertaubat. Begitu juga setengah ulamak mendorong kepada pendapat untuk mengampunkan saja orang yang membuat kesalahan riddah buat pertama kali, kecuali yang murtad kerana mencerca Rasulullah s.a.w.



ii. Jika digugurkan hukuman asal (bunuh) kerana adanya kesamaran seperti Abu Hanifah menggugurkan hukuman mati ke atas perempuan yang murtad dan kanak-kanak. Sebagai ganti kepada hukuman asal itu, maka perempuan dan kanak-kanak yang murtad dihukum penjara selama masa yang tidak dihadkan sehingga mereka bertaubat dan masuk semula Islam.



3. Hukuman sampingan. Selain daripada hukuman mati maka disebabkan kesalahan murtad boleh menjejaskan kedudukan harta benda, hak milik dan perkahwinan.




Harta Benda


Menurut mazhan Maliki, Syafie dan Hanbali bahawa apabila seseorang murtad itu mati atau dibunuh, maka harta bendanya waris-waris yang Islam atau yang bukan Islam. Mengikut pendapat mereka yang rajih bahawa keluarnya seseorang dari Islam (raddah) tidak menghilangkan hak milik dan tidak menghalangnya daripada memiliki harta benda yang lain yang didapati selepas murtad, Cuma harta benda yang didapati dalam masa murtad boleh digantungkan. Kalau dia masuk semula Islam maka diserahkan semula hak milik dan kalau dia mati dalam keadaan murtad atau dihukum bunuh kerana kesalahannya, maka harta bendanya jadi harta fai’.



Manakala Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa harta orang murtad yang diperolehi pada masa Islamnya adalah di ousakai oleh warisnya yang Islam. Manakala harta yang diperolei pada masa murtad atau jika dia meninggal atau dihukum mati atau dikeluarkan ke negara bukan Islam, maka harta bendanya itu menjadi harta fai’. Manakala harta orang murtad yang berada di negara kafir (al-Harabah) sama ada yang diperolehi sebelum murtad atau sesudah, semua mazhab menerimanya sebagai harta fai’.



Perbezaan pendapat antara mazhab Hanafi dengan jumhur adalah disebabkan oleh perbezaan tafsiran Hadith Rasulullah :





Maksudnya : Seseorang kafir tidak mewarisi seorang Islam dan seorang Islam tidak mewarisi seseorang kafir.



Sebab ini menurut jumhur harta orang yang murtad tidakdipusakai oleh waris-waris kerana mereka itu Islam. Manakala Imam Abu Hanifah menjelaskan bahawa harta yang boleh diwarisi oleh waris-warisnya yang Islam, kerana orang yang murtad itu dihukumkan seperi hukumkan orang yang mati dalam menghilangkan hak miliknya. Jadi apabila seseorang itu murtad, maka seoleh-olah dia mati dalam keadaan Islam yang mana harta pusakanya boleh diwarisi oleh waris-warisnya yang Islam.



Hak Milik


Dengan sebab murtad tidak menjejaskan segi hak untuk memiliki harta benda seperti melalui hibah wasiat sewa menyewa, jualbeli dan sebagainya, cuma dia tidak berhak memiliki menerusia harta pusaka kerana berlainan pegangan agamanya. Tetapi dengan sebab murtad boleh memberi kesan dari segi hak untuk mentadbirkan harta bendanya sama ada yang diperolehi sebelum murtad atau selepasnya.



Jadi menurut jumhur ulamak hak murtad untuk menguruskan harta benda tidak boleh dilaksanakan, bahkan digantungkan, kalau dia masuk semula Islam boleh diteruskan tetapi kalau dia mati dalam keadaan murtad, maka haknya untuk menguruskan terbatal kerana ia melibatkan hak orang lain, kecuali mengikut mazhab Syafie bahawa semua urusan yang dilakukan oleh murtad yang tidak boleh digantungkan, seperti jualbeli, Hibah, Rahn dan sebagainya adalah dibatalkan.



Perkahwinan


Orang yang murtad dianggap orang yang tidak mempunyai pegangan agama. Oleh itu Islam melayani orang yang murtad seperti ia melayani orang yang tidak beragama, walaupun keluarnya daripada Islam itu untuk menganut agama samawi. Oleh sebab itu kalau dia terus juga murtad, maka hukumnya ialah dibunuh. Selain itu dia boleh menjejaskan harta kekayaanya. Hak pengurusannya seperti yang telah dihuraikan dan juga boleh melibatkan perkahwinannya. Dalam perkara ini ada dua pandangan uang diutarakan oleh ulamak :



i. Apabila seseorang suami itu murtad, maka wajiblah dipisahkan dengan isterinya dengan talaq ba’in menurut setengah ulamak. Jadi jika dia bertaubat dan hendak balik semula dengan isterinya hendaklah dinikahkan semula dengan aqad dan mahar yang baru, kerana perpisahan itu adalah dari sebelah pihak lelaki yang melakukan dengan kehendaknya. Tetapi kebanyakkan ulamak mengatakan perceraian itu dianggap sebagai fasakh kerana ia ditetapkan oleh hukum syarak bikan dilakukan oleh suami. Jika yang murtad itu isteri, maka dipisahkan perkahwinan mereka, sebagai perpisahan cara fasakh yang mana kalau dia bertaubat dan hendak kembali semula kepada suaminya hendaklah diaqad nikah dan mahar yang baru tetapi tidak dikurangkan bilangan talaknya.



ii. Manakala pendapat yang kedua pula yang lebih keras ialah jika orang yang telah murtad itu nak berkahwin dengan pasanganya dari penganut agama yang baru dianutinya, maka perkahwinannya itu tidak boleh dijalankan kerana sebenarnya orang yang murtad telah diwajibkan hukuman bunuh mengikut hukum syarak dan dia tidak lagi di anggap sebagai kafir zimmi yang boleh diberi perlindungan. Jadi bukan sahaja dia tidak boleh berkahwin bahkan hak sebagai wali untuk mengkahwinkan orang yang dibawah kuasanya pula dihapuskan dengan sebab murtad.

0 Comments:

Post a Comment



Pages

Powered By Blogger

Followers

Sponsor

test Widget

ul li widget